Pembinaan Tali Air Dan Jalan Pertanian Berpotensi Majukan Tanaman Di Kawasan Paya Nowang, Kampung Jugan

RABU, 16 MAC 2022

BAU: Cadangan projek membina tali air dan jalan pertanian di kawasan Paya Nowang, Kampung Jugan dipercayai bakal merealisasikan impian penduduk setempat untuk mengusahakan tanaman seperti padi, jagung dan sayur-sayuran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang memberitahu, potensi projek tersebut amat baik untuk dimajukan terutama di kampung tersebut kerana hasilnya nanti akan setanding dengan sawah padi di daerah Lundu.

Jelas Billy, antaranya seperti di Tanjung Purun, Sedaing, Sungai Kiranga, Tebaro dan Rukam.

“Sebagai wakil rakyat saya perlu mengenal pasti anggaran kos bagi melaksanakan projek berkenaan dan akan memohon kepada Kementerian Pertanian mahupun secara terus ke Pejabat Premier Sarawak untuk mendapatkan dana yang secukupnya.

“Ini kerana peruntukan di bawah dana Fasilitasi Pertanian (AFF) sahaja tidak mencukupi,” katanya semasa melakukan lawatan bersama Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak, Raphael Churchil serta Penolong Pegawai Pertanian Daerah Bau, Nicholas Ajis di sini pada Selasa.

Tambah Billy, setelah penduduk mengusahakan tanaman kelak, pihaknya akan membantu dari segi subsidi dalam apa jua bentuk keperluan yang boleh disalurkan menerusi pejabat pusat khidmat dan juga kerajaan Sarawak. -EDISI UKAS

add comment