RABU, 16 MAC 2022
KUCHING: Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas sebanyak RM10,000 bagi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik COVID-19.
Katanya, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.
“Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP.
“Penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas KWSP ini akan dibuat oleh Kementerian Kewangan serta pihak KWSP sendiri,’’ katanya dalam satu sidang media pada Rabu.
Namun begitu, Perdana Menteri menggesa kepada para pencarum supaya terus mengekalkan simpanan mereka kecuali sekiranya keadaan amat mendesak.
“Demi masa depan sendiri, para pencarum harus membuat pertimbangan yang sewajarnya dahulu sebelum melakukan sebarang pengeluaran,’’ ujarnya.
Perdana Menteri menambah, kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lalu. – EDISI UKAS