KHAMIS, 17 MAC 2022
LAWAS: Projek pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Awat-Awat kini telah pun siap 98 peratus dan hanya tinggal kerja-kerja memasang bekalan elektrik.
Menurut Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Aidel Lariwoo, biarpun pembinaannya mengalami sedikit kelewatan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kekurangan bahan binaan serta pekerja, pembinaannya tetap diteruskan.
Sehingga kini, kerja-kerja pembinaan yang telah siap meliputi blok pentadbiran, akademik, tandas, prasekolah, 8 unit rumah guru, pondok pengawal, bangsal basikal, depo sampah, rumah pam, tangki air, bilik komputer, makmal dan pemasangan perabot.
“Setakat ini kita berpuas hati dengan kualiti dan kemajuan progress pembinaan ini yang menepati jangkaan awal walaupun berhadapan dengan COVID-19 dengan banyak halangan dari segi bahan-bahan binaan dan tenaga kerja,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke SK Awat-Awat pada Rabu.
Katanya lagi, pembinaan SK Awat-Awat ini dijangka siap sepenuhnya pada April 2022.
Hadir sama Penolong Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Limbang Mahathir Jokeni dan Jurutera JKR Daerah Lawas Lee Teck Kiu. -EDISI UKAS