KHAMIS, 17 MAC 2022
LIMBANG: Pembinaan Integrated Administrative Centre (IAC) Bahagian Limbang dijangka siap pada Julai 2023.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Aidel Lariwoo berkata, biarpun terdapat sedikit kelewatan daripada jadual asal, tetapi dengan keupayaan kontraktor kita yakin keupayaan kontraktor dapat memastikan projek ini siap mengikut jadual.
Sehingga kini, kemajuan fizikal projek ini ialah 5.12 peratus berbanding dengan jadual asal 8.23 peratus.
“Saya berasa yakin projek ini akan berjalan dengan lancar.
“Seperti yang kita dapat lihat tapak telah ditimbus dengan baik dan kerja-kerja seperti filing dan sebagainya sedang berjalan mengikut jadual setakat ini.
“Jadi, kita berasa yakin projek ini akan disiapkan mengikut jadualnya pada Julai 2023,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak IAC Bahagian Limbang pada Selasa.
Kontrak projek ini bernilai RM157.28 juta dan dilaksanakan kontraktor Gagasan Sdn Bhd dan diuruskan Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Utara.
Apabila siap nanti, IAC Bahagian Limbang akan menempatkan semua jabatan kerajaan termasuk ‘statutory body’ di Bahagian Limbang yang akan berpusat di satu tempat.
Dalam perkembangan sama, ketika diajukan soalan mengenai kelewatan beberapa projek di daerah Limbang, Aidel memberitahu faktor utama ialah banyak projek dilaksanakan secara serentak di semua bahagian di Sarawak dan beberapa faktor lain mengikut kawasan.
“Saya dapat melihat banyak kekangan pelaksanaan projek seperti kekangan sempadan di mana Brunei masih menutup sempadannya sejak daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga sekarang sehingga menyukarkan kemasukan bahan-bahan mentah ke bahagian ini,” ujarnya.
Selain itu, kos logistik yang tinggi di Limbang dan harga bahan binaan yang meningkat secara mendadak serta kekurangan pekerja asing juga menjadi faktor kepada kelewatan projek pembangunan di Limbang.
Hadir sama Penolong Jurutera Bahagian JKR Limbang Mahathir Jokeni, Jurutera Awam, JKR Wilayah Utara Reynald Felton Nawin, Project Engineer, Brooke Dockyard (Projek Jambatan Limbang Kedua) Narvindran dan Freddie Sigar.-EDISI UKAS