Projek Laluan Pejalan Kaki Di Jalan Pantai Lutong Siap Jun 2022, Projek Padang Bola Kampung Pulau Melayu Siap Oktober 2022

KHAMIS, 17 MAC 2022

MIRI: Projek Pembinaan Laluan Pejalan Kaki di Jalan Pantai Lutong yang sepatutnya siap Mei ini mengalami kelewatan sedikit susulan beberapa perubahan yang perlu dilakukan dan dijangka siap pada Jun 2022, jelas Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew. 

Ujarnya lagi, projek yang bermula Disember 2021 itu melibatkan dua laluan pejalan kaki iaitu sepanjang 1.6 km laluan pergi dan 1.6 km laluan balik dengan lebar 2 meter yang sesuai untuk penunggang basikal dan juga pejalan kaki.

“Ini adalah satu lagi projek untuk penduduk di Miri demi kesejahteraan dan kesihatan semua dengan mempromosikan aktiviti menunggang basikal dan berjalan kaki.

“Ini juga adalah salah satu manifesto saya iaitu “Healthy Living for Miri”. 

“Saya berharap selepas ini akan lebih ramai lagi dapat memanfaatkan aktiviti riadah di sini selain dapat menikmati keindahan pantai di sini,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Projek Rakyat Laluan Pejalan Kaki di Lutong pada Khamis. 

Projek Rakyat yang bernilai RM3 juta ini merupakan projek di bawah Premier Sarawak Datuk Patinggi tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg. 

Terdahulu Datuk Sebastian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau telah mengadakan lawatan ke Kampung Pulau Melayu bagi meninjau tapak Projek Padang Bola Kampung Pulau Melayu, Miri.

Katanya, projek yang bernilai RM212,000 ini telah tertangguh agak lama biarpun telah diluluskan pada 2017 dan kini akan dilaksanakan dengan dijangka siap pada  Oktober 2022. 

“Kontraktor telah memberikan jaminan bahawa projek RTP padang bola sepak Kampung Pulau Melayu ini akan siap dalam tempoh 3 bulan dan tambahan 3 bulan berikutnya lagi adalah bagi memastikan rumput yang ditanam tumbuh,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak projek Padang Bola Sepak Sepak di Kampung Pulau Melayu pagi Khamis.

Datuk Sebastian Ting turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung kerana memahami penangguhan projek pembinaan Padang Bola Sepak Kampung Pulau Melayu. -EDISI UKAS

add comment