Subkontraktor Diharap Dapat Percepatkan Projek Jambatan Limbang Kedua – Aidel

KHAMIS, 17 MAC 2022

LIMBANG: Projek Jambatan Limbang Kedua penting bagi penduduk di daerah Limbang sebagai penghubung ke kawasan seberang dan juga memendekkan masa perjalanan ke sempadan Malaysia – Brunei. 

Bagaimanapun, projek ini sudah lama tertangguh yang mana sepatutnya siap pada tahun lepas tetapi sehingga hari ini belum dapat disiapkan.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Aidel Lariwoo menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa memantau projek ini untuk memastikan ia dapat disiapkan dengan segera dan meneliti keupayaan kontraktor untuk menyiapkan projek ini sepenuhnya.

“Jadi, dengan adanya subkontraktor baru yang menggantikan yang lama akan dapat meningkatkan lagi lebih banyak kemajuan projek ini dengan pekerja-pekerja yang baru dan bekalan bahan binaan yang mencukupi serta diteruskan dengan lebih cepat lagi,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak  Projek Jambatan Limbang Kedua di Kampung Pabahanan pada Selasa. 

Setakat ini Projek Jambatan Limbang Kedua hanya siap 38 peratus sahaja dan masih banyak perkara yang perlu disiapkan kontraktor.

Projek Jambatan Limbang Kedua ini bernilai RM187 juta telah dijadualkan semula dan dijangka siap pada April 2023. 

Menjawab soalan media berkenaan kekurangan tenaga kerja di tapak binaan, Aidel berkata, jumlah pekerja yang ada sekarang memang masih belum mencukupi dan subkontraktor memaklumkan mereka akan menambah pekerja-pekerja mereka dari semasa ke semasa.

Hadir sama Penolong Jurutera Bahagian JKR Limbang Mahathir Jokeni, Jurutera Awam, JKR Wilayah Utara Reynald Felton Nawin, Project Engineer, Brooke Dockyard (Projek Jambatan Limbang Kedua) Narvindran dan Freddie Sigar.-EDISI UKAS

add comment