20 Individu Terima Surat Keputusan Kewarganegaraan Permohonan Taraf Kewarganegaraan

JUMAAT, 18 MAC 2022

MIRI: Seramai 20 individu telah menerima surat keputusan Kewarganegaraan Permohonan Taraf Kewarganegaraan di bawah perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penyerahan surat ini dilakukan setelah Kementerian Dalam negeri (KDN) memuktamadkan keputusan itu.

“Majlis ringkas ini diadakan untuk penyampaian  surat keputusan kelulusan yang lulus kepada enam yang dapat hadir dan 14 lagi tidak dapat hadir,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan tersebut di Miri pada Khamis.

Dato Sri Fatimah turut memberitahu, memandangkan terdapat kes pemohon yang tidak menuntut surat keputusan kelulusan permohonan itu, pihaknya mahu senarai nama pemohon yang telah diluluskan di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) diberikan kepada Jabatan pendaftaran negeri (JPN) dan kementerian beliau.

Jelasnya lagi, kementerian juga akan memberi kerjasama untuk membantu mengesan nama-nama yang tidak menuntut melalui Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kerana bimbang mereka ini telah bertukar alamat, bertukar nombor telefon dan sebagainya.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Fatimah juga memaklumkan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus telah dilantik menjadi ahli baru Mesyuarat Khas Jawatankuasa Status Kewarganegaraan Peringkat Negeri Sarawak (JKKSK) yang dipersetujui Menteri Dalam Negeri.-EDISI UKAS

add comment