JUMAAT, 18 MAC 2022
TEBEDU: Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah penting diadakan lebih kerap untuk memberikan peluang bagi agensi berkaitan mengemukakan cadangan dan tindakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada memberitahu, setiap agensi sama ada dalam menjaga keselamatan, kesihatan atau pembangunan pertanian wajib bekerjasama sebagai satu pasukan.
Beliau menjelaskan bahawa ianya adalah bagi memastikan kesejahteraan rakyat khususnya di daerah Tebedu yang merangkumi kawasan DUN Tarat, Tebedu dan Kedup.
“Satu kolaborasi yang baik akan menjadikan kita satu rakan strategik bagi tujuan memajukan daerah Tebedu dalam pelbagai sektor seperti pembangunan asas meningkatkan sosio ekonomi rakyat, menambahbaik sistem kesihatan, pendidikan dan keselamatan termasuk mewujudkan peluang pekerjaan pada masa akan datang,” katanya pada mesyuarat District Action Committee (DAC) Tebedu di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Tebedu, pada Khamis.
Selain itu ujarnya, agensi berkenaan dapat memudahkan urusan pengurusan harian, pemantauan dan tindakan di Daerah Tebedu. -EDISI UKAS