JUMAAT, 18 MAC 2022
MIRI: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak komited untuk melahirkan lebih ramai usahawan belia di negeri ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dr Ripin Lamat berkata, kementeriannya mahu menjalinkan kerjasama dengan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) Hab Inovasi Digital Miri.
Katanya, TEGAS Hab Digital Inovasi Miri mempunyai beberapa perkara yang boleh dijalinkan kerjasama untuk mengusahakan program khasnya kepada para belia menuju ke arah ekonomi digital di Sarawak ini.
“TEGAS Hab Digital Inovasi Miri ini banyak ke arah ekonomi digital dan Sarawak sekarang berusaha untuk melahirkan lebih banyak usahawan belia di negeri ini.
“Ini adalah salah satu visi kementerian kita untuk melahirkan ushawan-usahawan belia di seluruh Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke TEGAS Digital Innovation Hub Miri pada Khamis.
Jelas Dr Ripin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir menjelaskan, lawatan berkenaan bertujuan bagi mendapatkan maklumat dari Hab Digital Inovasi Miri bagi memudahkan kementeriannya bekerjasama mengusahakan program khas untuk para belia.
Selain itu, beliau turut mendedahkan Program Youth Enterpreneur 2022 akan diadakan pada 19 Mac 2022 di Hotel Imperial Miri yang akan dirasmikan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
“Program ini merupakan program pertama yang diadakan bertujuan untuk mendedahkan kepada golongan belia yang mana peserta-pesertanya adalah mereka yang berumur 18 tahun hingga 30 tahun di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu, DUN Lambir dan sekitar kawasan Miri,” jelas beliau lagi.-EDISI UKAS