Pemantauan Aset Sentiasa Dilaksana Di Fasiliti Kesihatan

JUMAAT, 18 MAC 2022

KUALA LUMPUR: Aktiviti pemantauan aset sentiasa dilaksanakan untuk memastikan kemudahan fasiliti kesihatan sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi penularan penyakit berjangkit.

Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaludin berkata, aktiviti pemeriksaan dan penyelenggaraan peralatan perubatan sedia ada termasuk klinik-klinik kesihatan di kawasan Parlimen Tanjong Manis dilakukan secara berkala di bawah projek Medical Equipment Enhancement Tenure (MEET).

Jelasnya, kekerapan pemeriksaan ini adalah bergantung kepada jenis kategori peralatan tersebut.

“Disamping penyelenggaraan aset, syarikat konsesi turut membaiki kerosakan alat sekiranya terdapat aduan dan projek ini didapati banyak membantu dalam memastikan perkhidmatan kesihatan tetap berjalan lancar,” katanya bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abdul Wahab dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-14 2022 pada Khamis.

Khairy menambah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan satu garis panduan standard norma bagi jumlah peralatan perubatan untuk dibekalkan di fasiliti klinik kesihatan mengikut beban kedatangan bagi memastikan perkhidmatan penjagaan kesihatan tidak terjejas.

Ujarnya, garis panduan ini membantu Pejabat Kesihatan Bahagian dan Jabatan Kesihatan Negeri untuk menyemak keperluan peralatan perubatan berdasarkan kepada situasi semasa

“Semua fasiliti kesihatan di bawah KKM perlu mematuhi tatacara pengurusan aset seperti yang ditetapkan dalam Pekeliling Perbendaharaan Malaysia Tatacara Pengurusan Aset Alih Kerajaan yang berkuatkuasa tahun 2016 yang mana pemeriksaan aset alih boleh dilaksanakan sepanjang tahun pada tahun semasa secara berperingkat,” ujar Khairy lagi.-EDISI UKAS

add comment