Dayang Enterprise Holdings Berhad Sumbang Mesin Haemodialisis

SABTU, 19 MAC 2022

MIRI: Dayang Enterprise Holdings Berhad telah menyumbang Mesin Haemodialisis bernilai RM50,000 kepada pusat dialisis kedua Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Permyjaya, Miri.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin yang juga ketua pusat dialisis berkenaan merakamkan ucapan terima kasih kepada Dayang Enterprise Holdings Berhad dan semua yang prihatin menyokong serta memberi sumbangan.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dayang Enterprise Holdings Berhad atas sumbangan murni ini dan juga badan korporat yang lain, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu prihatin atas sokongan dan sumbangan yang diberikan selama ini.

“Anda semua memainkan peranan penting dalam memastikan pusat dialisis ini menjadi nyata untuk dibangunkan,” katanya dalam majlis itu.

Dalam pada itu, Dato Sri Lee menambah, kesemua kelengkapam mesin peralatan cuci buah pinggang dari Jerman di pusat dialisis itu kini telah siap ditempatkan dan dipasang.

Jelas beliau, ia kini dalam peringkat terakhir untuk menunggu pemeriksaan akhir dan kelulusan dari Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta dari Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mendapatkan lesen operasi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu berkata, apabila pusat dialisis baharu ini siap, ia akan menyediakan kira-kira 40 mesin dialisis yang mampu menampung kapasiti seramai 240 pesakit sekaligus mengurangkan beban dan kesesakan di pusat dialisis sedia ada di Miri.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Eksekutif Dayang Enterprise Holdings Berhad, Datuk Ling Suk Kiong; Timbalan Pengurus Besar Dayang Enterprise Sdn Bhd, Joe Ling Siew Loung dan Pengurus klinikal Pusat Dialisis Permyjaya, Penny Kalong.-EDISI UKAS

add comment