SABTU, 19 MAC 2022
BAU: Duta Romania Di Malaysia Dan Brunei Darulsalam, Nineta Barbulescu amat teruja dengan keunikan dan hasil karya seni tempatan ketika melakukan lawatan tidak rasmi beliau ke Ayak Gallery di Pekan Siniawan disini pada Jumaat.
Lawatan beliau bersama suami, Dan Barbulescu yang julung kalinya itu telah disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh.
Program atas permintaan wakil konsul Romania di Sarawak, Datuk Mutang Tagal itu adalah bagi memperkenalkan seni dan budaya masyarakat setempat yang terdapat di pekan Warisan itu kepada Duta Romania tersebut.
Dalam lawatan itu, rombongan telah dibawa untuk melihat dan diperkenalkan dengan hasil karya seni serta budaya tempatan yang dipamerkan di Ayak Gallery.
Nineta, ketika diperkenalkan dengan ‘Sape’ kemudiannya membeli alat musik tersebut setelah tertarik dengan keunikannya.
Rombongan yang turut diiringi oleh Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam dan Setiausana Majlis Daerah Bau, Ng Siang Wei kemudiannya pergi ke The Bikalan bagi menikmati jamuan makan malam.
Miro dalam pada itu berharap agar banyak peluang terbuka dalam menarik ramai pelancong dari Romania untuk datang ke Sarawak.
Turut hadir, Penghulu Kawasan Paku, Lai Shey Hiong, Kapitan Kawasan Siniawan, Bong Boon Kah dan Ahli Majlis Daerah Bau, Wejok Tomik.-EDISI UKAS