SABTU, 19 MAC 2022
MIRI: Setiap syarikat yang dianugerahkan lesen mengekstrak pasir perlu memberikan sumbangan kepada kampung yang berdekatan.
Menurut Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Datu Abdullah Julaihi, ini merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak dalam membantu kampung-kampung yang berdekatan.
“Inisiatif seperti ini sedikit sebanyak dapat membantu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam perbelanjaan kos melaksanakan aktiviti yang dijalankan di kampung masing-masing.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa menyempurnakan Penyerahan Cek Sumbangan di Miri Marriott Resort & Spa pada Jumaat.
Sebanyak tiga buah kampung yang di wakili Ketua Kampung Masjid Kuala Baram Yusree Zainuzzam, Rumah Panjang Sungai Pedada Asam Paya Tuai Rumah Asam Manggong dan Rumah Panjang Sindar Assam Paya Tuai Rumah Budin Sandai menerima sumbangan cek berjumlah RM3,000 bagi setiap kampung daripada Magna Focus Sdn. Bhd selaku pemegang lesen mengekstrak pasir di Kuala Baram dan sebahagian Batang Baram.
Datu Abdullah menambah, program seumpama ini akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh Sarawak.
Hadir bersama Timbalan Pengarah Pengurusan Jabatan Tanah dan Survey Awang Zamhari Awang Mahmood dan Pengurus Magna Focus Sdn. Bhd Ahmad Daud Manan Magna Focus Sdn. Bhd. -EDISI UKAS