Koleksi Mangkuk Tingkat Tiffin Jeiwa Tampil Kelainan Dengan Corak Motif Sarawak

SABTU, 19 MAC 2022

KUCHING: Centre of Technical Excellence Sarawak (CENTEX) Commercial telah berkolaborasi bersama Jeiwa Global Resources dalam pengeluaran produk terbaharu Warisan Sarawak bagi membantu komuniti tempatan menjana ekonomi.

Menurut Pengasas Tiffin Jeiwa, Ina Fadilah Nizar, ini merupakan satu langkah yang baik untuk Jeiwa bersama dengan CENTEXS Commercial untuk memasarkan produk di Sarawak selari dengan matlamat Jeiwa iaitu untuk memperkasakan wanita dan komuniti.

“Ini satu platform yang baik untuk produk-produk Sarawak untuk pergi ke luar negara.

“Jadi untuk mangkuk tingkat Jiewa, kita sebagai sebuah badan komuniti yang beroperasi berasaskan perusahaan sosial selari dengan matlamat yang diwar-warkan selalu iaitu ‘Go Green’ dengan penggunaan bahan-bahan yang selamat untuk pengguna dan selamat untuk alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bagi mempromosikan produk terbaharu warisan Sarawak di Galeri Songket dan Keringkam Sarawak, pada Sabtu.

Koleksi mangkuk tingkat keluli tahan karat yang diberi nama ‘Tiffin Jeiwa’ itu dilukis dengan lukisan tangan bercorakkan motif Sarawak bagi memberi kelainan dengan ciri-ciri unik di Sarawak.-EDISI UKAS

add comment