MARA Cawangan Lawas Santuni Golongan Asnaf

SABTU, 19 MAC 2022

LAWAS: Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menyantuni golongan asnaf di sini dengan menganjurkan program Prihatin ‘Jalinan Kasih bersama ASNAF’ dari 16 Mac hingga 18 Mac 2022.

Program tanggungjawab sosial korporat ini melibatkan dua aktiviti iaitu selenggara dan pembaikan kecil pendawaian di tiga buah rumah asnaf serta menjahit logo sekolah dan membaiki pakaian sekolah untuk anak-anak keluarga asnaf yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM8,000.

Rumah yang terlibat dalam selenggara dan pembaikan kecil pendawaian eletrik ialah rumah milik Noni Tuah di Kampung Tanjung Bakong, rumah milik Moksin Salleh di Kampung Sinampuan dan rumah milik Sikatong Karta di Kampung Tanjung Pagar.

Selain itu, pihak Baitulmal Cawangan Lawas dan MARA juga telah menyerahkan bantuan makanan ringan kepada keluarga asnaf tersebut.

Turut terlibat dalam menjayakan program tersebut adalah tenaga pengajar serta pelatih Giat MARA yang mengambil kursus pendawaian elektrik dan kursus fesyen dan pakaian, Pejabat MARA dan kakitangan dari Baitulmal Cawangan Lawas.-EDISI UKAS

add comment