SABTU, 19 MAC 2022
BUKIT SABAN: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Cawangan Betong telah menganjurkan Program Roadshow SPOC Q9 Debak, Hari Bertemu Pelanggan Dan Roadshow KPSM Betong Berhad Bersama Pekebun Kecil bertempat di Rumah Panjang Denil Ranti Menyalin Baru Debak pada Khamis lepas.
Roadshow atau jerayawara itu bertujuan memberi pendedahan kepada para pekebun kecil di kawasan ini tentang pengenalan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), pengurusan kebun mengikut amalan pertanian baik (GAP), cara pembajaan yang berkesan, cara penggunaan alat pelindung diri yang betul dan persiapan untuk melengkapkan fail individu pekebun kecil yang akan didaftarkan untuk pensijilan ini.
MSPO telah mandatori pada 31 Disember 2019 bagi kategori pekebun kecil sawit.
Seramai 61 pekebun kecil di kawasan SPOC Q9 Debak yang telah berlesen dan pekebun kecil persendirian dijemput untuk hadir pada program kali ini untuk memahami tentang pensijilan MSPO ini.
Selain itu, jerayawara itu juga bertujuan memberi pendedahan dan maklumat berkenaan pensijilan MSPO kepada para pekebun kecil untuk memastikan semua pekebun kecil mematuhi prinsip-prinsip yang terdapat dalam pensijilan ini serta memastikan pekebun kecil mengurus kebun sawit secara mampan.
Ia juga bertujuan memberi kesedaran kepada pekebun kecil kepentingan alat pelindung diri (PPE) dan cara penggunaan yang betul, memastikan pekebun kecil melakukan kawalan rumpai di kebun sawit secara sistematik dan menentukan setiap pekebun kecil akan mengamalkan pembajaan secara berkesan. – EDISI UKAS