JUMAAT, 18 MAC 2022
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah merasmikan Persidangan Kebangsaan Wanita Dayak (NCDW) 2022 bertemakan ‘Dayak Women Making A Difference’ di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Jumaat.
Semasa berucap, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari memberitahu, beliau sentiasa menyokong inisiatif Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) dan Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) dalam usaha membantu memperkasakan peranan serta modal insan wanita Dayak di negeri ini termasuk menganjurkan persidangan seumpama itu.
“Sebelum ini, apabila Dato Alice datang berjumpa saya dan menyatakan hasrat beliau untuk menubuhkan Kursi Tan Sri Empiang Jabu dan beliau menceritakan kepada saya bahawa tujuannya adalah berhubung sumber pendidikan pada masa yang sama untuk mengangkat martabat wanita Dayak, saya kata teruskan dan saya akan membantu.
“Beliau turut mencadangkan supaya Sarakup Indu mempunyai bangunan tetap untuk memberi perkhidmatan kepada komuniti mereka dan saya bersetuju.
“Semasa saya berjumpa dengan SDGA, Pengerusinya juga mengatakan bahawa mereka memerlukan bangunan tetap untuk mengurus pada masa yang sama bagi tujuan interaksi..saya pun bersetuju.
“Maka hari ini saya di sini bersama mereka untuk membantu dan mencari cara menaik taraf wanita Dayak yang akan membuat perubahan,” katanya semasa berucap sebelum perasmian.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut menekankan mengenai keseimbangan yang perlu dititikberat bagi mencapai kesaksamaan jantina (gender equality) berdasarkan ilmu dan teknologi.
Ini kerana beliau percaya, dunia masa kini dan pada masa hadapan bergantung kepada teknologi yang mana masyarakat memerlukan ilmu pengetahuan untuk menguasainya tanpa mengira jantina, bangsa dan agama.
“Jika anda ingin mencapai kesaksamaan jantina, bermakna anda perlukan keseimbangan..jika anda mempunyai status keseimbangan itu, pengetahuan adalah kuncinya,” tambah beliau.
Pada majlis sama, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut melancarkan Buku ‘Dayak Women Development’ yang turut disaksikan Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom; Penyandang Pertama Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu untuk Pengajian Wanita Dayak Universiti Putra Malaysia, Datuk Jayum Jawan serta Pengerusi SIDS, Dato Ir. Alice Jawan Empaling.
Untuk rekod, NCDW berlangsung selama dua hari bermula 18 hingga 19 Mac 2022, berfungsi sebagai platform untuk memudahkan perbincangan dan perkongsian di kalangan wanita Dayak mengenai pelbagai dimensi dunia sosial, budaya dan ekonomi.-EDISI UKAS