Program Berambeh Digital 1.0 Dedah Teknologi Digital Kepada Warga Saratok

SABTU, 19 MAC 2022

SARATOK: Program Berambeh Digital 1.0 yang julung kali diadakan di Saratok memberi pendedahan berguna kepada masyarakat setempat mengenai teknologi berasaskan digital dalam urusan harian.

Program diadakan dari 18 hingga 20 Mac itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Dan Inovasi Sarawak, Dr Annuar Rapaee di Dewan Masyarakat Sri Krian pada Jumaat.

Ia turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri dan ADUN Krian, Friday Belik.

Antara lain, penganjuran program itu juga bertujuan menyahut cabaran dan cita-cita Kerajaan Sarawak sebagai negeri maju dengan membangunkan teknologi digital di setiap pelusok negeri kerana pembangunan digital ekonomi mampu mengubah corak dan budaya hidup yang lebih maju serta berinovasi.

Pelbagai gerai pameran disediakan untuk kunjungan orang ramai terutama golongan muda serta usahawan yang ingin berkecimpung dalam digital ekonomi. – EDISI UKAS

add comment