Sarawak Kini Miliki Kampus Satelit IKN, Inisiatif Bantu Golongan Belia Ceburi Bidang Kemahiran Kraf

SABTU, 19 MAC 2022

KUCHING: Sarawak kini memiliki sebuah Kampus Satelit Institut Kraf Negara (IKN) bagi membantu belia dan beliawanis mendalami ilmu dalam bidang kemahiran kraf.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, pembukaan Kampus Satelit di Sarawak amat bertepatan terutamanya apabila 70 peratus atau 1.97 juta orang daripada 2.82 juta penduduk di Sarawak adalah golongan belia hingga dewasa.

“Saya yakin inisiatif dan sasaran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), melalui Kraftangan Malaysia untuk melebar luas latihan kemahiran kraf, khususnya kepada belia dan beliawanis di Sarawak dapat dicapai.

“Malah, di bawah frasa ‘Keluarga Malaysia’, saya optimis, pewujudan Kampus Satelit Sarawak akan memberi peluang kepada semua kaum atau etnik di negeri ini, untuk mendapat pendidikan dan kemahiran yang lebih baik serta berkualiti,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Kampus Satelit IKN Sarawak di Kuching pada Sabtu.

Dato’ Sri Nancy memberitahu, kampus ini merupakan kampus kedua yang dibuka oleh Kraftangan Malaysia menerusi Institut Kraf Negara selepas perasmian Kampus Satelit yang pertama di kota Kinabalu, Sabah pada 23 April 2021 yang lalu.

Tambah Ahli Parlimen Batang Sadong itu, Kampus Satelit Sarawak ini adalah antara bukti ‘walk the talk’ Kerajaan terhadap pelaksanaan program khusus pendidikan kemahiran secara in-situ, ke arah meningkatkan sosioekonomi pelbagai etnik di Sarawak.

“Sebagai Kerajaan yang prihatin, peranan kita juga tidak sahaja terhad kepada memberi peluang kepada anak-anak muda untuk melanjutkan pengajian kemahiran dalam bidang kraf yang ditawarkan secara formal, malah kita perlu memudahkan jalan untuk mereka mencapai cita-cita dan impian, demi masa depan yang lebih terjamin.

“Oleh itu, pengajian yang ditawarkan di Kampus Satelit ini mengguna pakai Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, dokumen yang menggariskan ketrampilan yang diperlukan oleh seseorang pekerja mahir bagi sesuatu bidang dan tahap pekerjaan serta laluan untuk mencapai ketrampilan tersebut,” ujarnya lagi.-EDISI UKAS

add comment