AHAD, 20 MAC 2022
SRI AMAN: Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion menghadiri Dialog Pembangunan Pertanian di Rh Ramie Jaritan, Sebemban Selanjan, pada Ahad.
Dalam program tersebut, beliau turut memberi penerangan tentang polisi kerajaan negeri untuk memajukan sektor pertanian secara moden dan menjadikan Sarawak sebagai pengeksport barang makanan berasakan pertanian pada tahun 2030.
Menurut beliau, Jabatan Pertanian Sarawak telah memulakan pakej konsep secara berkelompok kepada penduduk yang mempunyai keluasan tanah melebihi 10 ekar.
“Kerajaan negeri juga menyediakan dana fasilitasi pertanian (AFF) kepada para peserta pertanian yang layak untuk membantu mereka meningkatkan produktiviti dan pendapatan warga tani,” katanya.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datu Edwin Ebit, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Elvis Didit dan Pemangku Pengarah Pertanian Sarawak, Edwin Chunggat.
Sementara itu, beliau memaklumkan, Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak dan Jabatan Pertanian Sarawak sudah mengenalpasti tapak untuk mendirikan ‘Food Terminal’.
Katanya, beliau juga berharap generasi muda lebih aktif untuk menceburkan diri dalam sektor pertanian. -EDISI UKAS