Peruntukan Tanah di Kawasan Gunung Ngeli Dimohon Bagi Membangunkan Nilai Pelancongan

AHAD, 10 MAC 2022

KUCHING: Satu permohonan untuk peruntukan tanah di sekitar Gunung Ngeli, Simunjan telah dilakukan untuk membangunkan kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato Sri Nancy Shukri berkata, peruntukan ini dimohon bagi meneroka lebih banyak produk-produk pelancongan, sekaligus meningkatkan lagi potensi pelancongan di kawasan Simunjan.

“Ini akan bantu menambahkan lagi bilangan pelancong yang datang menyaksikan sebarang tarikan di kawasan ini,’’ katanya ketika berucap di Majlis Penangguhan Kem Bina Insan Belia Dewan Undangan Negeri (DUN) N25 Simunjan di Palm Beach Resort Sematan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia menitikberatkan kepentingan penglibatan komuniti khususnya belia dalam segala usaha serta kejayaan membangunkan kawasan Parlimen Batang Sadong.  

“Usaha ini juga seiring dengan hasrat Sarawak untuk menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 yang turut bergantung kepada sumbangan modal insan berkualiti di kalangan belia di negeri ini,’’ jelasnya.

“Dalam konteks pembangunan, ianya harus bermula di peringkat individu sebelum ke peringkat isi rumah, kemudian komuniti, kemudian peringkat daerah, bahagian dan negeri, sebelum ke peringkat negara,’’ tambahnya lagi.

Manakala, Dato Sri Nancy menyeru golongan belia untuk mengambil peluang dan berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam memanfaatkan dasar-dasar yang disediakan oleh kerajaan demi meningkatkan taraf hidup masing-masing.

Memberikan contoh berkaitan bidang perniagaan, beliau menjelaskan kerajaan melalui pelbagai kementerian telah menyediakan sokongan serta bantuan sama ada dalam bentuk modal mahupun kursus keusahawanan untuk mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang tersebut.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, dan Pegawai Daerah Simunjan, Abdul Khalid Manap. -Edisi UKAS

add comment