ISNIN, 21 MAC 2022
KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak akan menganjurkan Persidangan Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak 2022 bertempat di UCSI Hotel Kuching, bermula 31 Mac sehingga 1 April 2022.
Persidangan selama dua hari itu akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta bakal dihadiri seramai 260 delegasi.
Menterinya, Datuk Julaihi Narawi memberitahu persidangan tersebut melibatkan beberapa bahagian di kementeriannya serta jabatan-jabatan dan agensi-agensi yang berkaitan yang menyediakan kemudahan utiliti melibatkan bekalan air dan elektrik di Sarawak, bekalan gas dan juga kemudahan telekomunikasi di seluruh Sarawak.
“Kita dapati, dalam menyediakan kemudahan air, bekalan elektrik, gas dan telekomunikasi di seluruh sarawak, kita berdepan dengan banyak cabaran dan isu yang kita hadapi.
“Dan ianya perlu ditangani dengan kerjasama daripada semua pihak yang terlibat sama ada di kementerian kami di peringkat Sarawak, di kalangan jabatan dan agensi yang berkaitan,” katanya dalam sidang media mengenai Persidangan Utiliti dan Telekomunikasi 2022 di Imperial Hotel pada Isnin.
Bertemakan ‘Challenges and The Way Forward in Providing Utilities an Telecommunications in Sarawak by the year of 2030’, persidangan itu akan menampilkan 13 kertas kerja teknikal yang bakal dibentangkan oleh agensi kerajaan masing-masing.
Antara agensi yang terlibat dalam pembentangan tersebut adalah Sarawak Energy Berhad (SEB), Petroleum Sarawak (PETROS), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Tanah dan Survei.-EDISI UKAS