Belia Disaran Manfaatkan Ekonomi Digital Sebagai Budaya Dan Cara Hidup Masa Depan

ISNIN, 21 MAC 2022

GEDONG : Ekonomi berlandaskan digital, internet dan teknologi boleh dimanfaatkan sebagai budaya dan cara hidup masa depan.

Menurut Timbalan Ketua Cawangan Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais, ia selaras dengan amanat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang sering menekankan mengenai peredaran zaman ke arah ekonomi masa depan melalui teknologi digital.

Sehubungan itu, beliau menggesa para belia agar menggunakan peluang yang ada untuk membangunkan diri. 

“Untuk masa ini, lengkapkan diri dengan kemahiran supaya generasi masa depan tidak akan ketinggalan,” katanya semasa berucap di Mesyuarat Perwakilan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong baru-baru ini.

Dalam masa sama, Datuk Naroden turut menyarankan penduduk Gedong untuk terus memperkukuhkan hubungan kerjasama dalam mengangkat kawasan itu ke tahap yang lebih tinggi.

Jelas beliau, ia penting bagi memastikan masyarakat di Gedong menikmati limpahan serta kesinambungan pembangunan yang dibawa oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS). -EDISI UKAS

add comment