Isu Penuaan Di Sarawak Jadi Fokus Baharu MPS

ISNIN, 21 MAC 2022

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak menerusi Majlis Pembangunan Sosial (MPS) Sarawak mengangkat isu penuaan sebagai satu lagi fokus baharu agar dapat ditangani secara bersepadu dan holistik.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, isu berkenaan merupakan satu fenomena sosial yang bakal berlaku di Sarawak.

Beliau menjelaskan, Sarawak akan mencapai wilayah tua lebih awal pada tahun 2028 iaitu lebih 16 peratus berdasarkan penurunan dalam kadar kesuburan mengikut Banci 2020 yang ketara di Sarawak.

“Satu fenomena sosial yang bakal berlaku di Sarawak adalah isu penuaan di mana lebih 15 peratus penduduk bakal berumur 60 tahun ke atas menjelang tahun 2030.

“Berdasarkan penurunan dalam Jumlah Kadar Kesuburan mengikut Banci 2020 yang ketara di Sarawak, adalah diunjurkan bahawa kita akan mencapai wilayah tua lebih awal pada tahun 2028 iaitu lebih 16 peratus,”katanya.

Dato’ Sri Fatimah berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pembangunan Sosial (MPS) Sarawak di Bangunan Baitulmakmur 2 di Kuching pada Isnin.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, kementeriannya telah melakukan kerjasama dengan Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) Universiti Putra Malaysia (UPM) dan memetrai satu Memorendum Persefahaman (MoU) untuk kerjasama penyelidikan agar warga emas di Sarawak menua dengan sihat, aktif, produktif dan sejahtera.

“Pada 15 Mac 2022, KPWK telah memetrai satu Memorendum Persefahaman (MoU) dengan Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk kerjasama penyelidikan bagi mendapat input berasaskan bukti untuk pembangunan dasar dan program serta pelaksanaan intervensi yang bersasar agar warga emas di Sarawak menua dengan sihat, aktif, produktif dan sejahtera,”ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah yang juga Pengerusi Ahli MPS Sarawak memaklumkan, MPS merancang pelaksanaan 450 siri program dan intervensi sosial bagi tahun 2022.

“Kita akan terus menjalinkan kolaborasi, kerjasama dan penyelarasan strategik di antara ahli-ahli dalam MPS Sarawak, tidak kira agensi-agensi kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan; institusi-institusi swasta; Badan Bukan Kerajaan (NGO); dan kepimpinan di peringkat akar umbi seperti Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).

“Kita akan terus memantapkan dan mengukuhkannya bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti di Sarawak melalui pelbagai program, projek dan inisiatif keterangkuman sosial yang turut disenaraikan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan Rancangan Malaysia ke -12 peruntukan Kerajaan Sarawak,” kata Dato Sri Fatimah lagi.-EDISI UKAS

add comment