ISNIN, 21 MAC 2022
MIRI: Pengurusan pelabuhan yang efisien dan cekap penting bagi menjayakan Strategi Pembangunan Sarawak PASCA COVID-19 2030 (PCDS) 2030.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah, perkhidmatan itu turut berperanan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan, peningkatan pelaburan, menjana lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan.
Beliau berkata demikian semasa mengumumkan pembukaan Terminal Pertukaran Kru di Pulau Melayu, Miri pada Ahad.
Projek bernilai Rm13 juta itu adalah bagi menyediakan keperluan logistik kru dan bekalan dalam industri minyak dan gas.
Tambah beliau, pengurusan pelabuhan cekap juga penting untuk tujuan eksport produk sarawak ke negara lain.
“Kita memerlukan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, pelabuhan dan tenaga bertaraf dunia dalam usaha menarik lebih ramai pelabur.
“Jika tidak pelabur tidak akan datang termasuklah berkaitan dengan kemudahan pelabuhan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah berharap pengurusan pelabuhan agar menjadi lebih kreatif, inovatif dan menggunakan aplikasi digital bagi meningkatkan kecekapan dalam operasi.
Sementara itu, beliau menyifatkan Terminal Pertukaran Kru akan memberi impak positif kepada Pelabuhan Miri yang berdepan dengan isu kekurangan penggunaan pelabuhan susulan menghadapi masalah laluan cetek di Sungai Baram.
Ujarnya juga, terminal itu mampu menjana pendapatan tidak kurang RM10 juta setahun kepada Pelabuhan Miri.
Beliau menambah, Pelabuhan Miri perlu memanfaatkan Miri sebagai pusat industri minyak dan gas nengeri untuk menjana pendapatan dan perniagaan.
“Ini yang perlu dilakukan pihak pengurusan Pelabuhan Miri.
“Saya juga mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan yang dipimpin Pengurus Besar Pelabuhan Miri, Serawa Budol yang telah memberi komitmen baik sebelum ini.
“Saya berharap syarikat minyak dan gas seperti Petronas Carigali, Nipping, Shell, Sandra, Dayang Enterprise serta yang lain perlu terus memberikan sokongan kepada pelabuhan Miri untuk tujuan tersebut,” tambahnya.
Hadir sama Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin dan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Majang Renggi serta yang lain. -EDISI UKAS