Perbezaan Gender Untuk Memimpin Bukan Isu Dalam Arus Pembangunan Digital

ISNIN, 21 MAC 2022

KUCHING: Perbezaan gender untuk memimpin bukan lagi menjadi isu dalam arus pembangunan teknologi digital masa kini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau percaya dalam masa 10 atau 20 tahun lagi, isu perbezaan antara lelaki dan wanita tidak akan menjadi penentuan kecemerlangan golongan tertentu.

Jelasnya, penghalang utama kepada pembangunan wanita agar setanding dengan kaum lelaki ialah stigma kebudayaan masyarakat yang membezakan peranan wanita dan lelaki.

“Kepimpinan pada masa akan datang adalah bergantung kepada individu yang boleh memimpin arus pembangunan teknologi dan mempunyai pengetahuan. Ianya tidak bergantung kepada perbezaan jantina lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Bootcamp Sarawak Women of Tomorrow 22 (SWOT 22) di Kuching pada Isnin.

Tambah Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari, ketetapan latarbelakang kaum atau agama juga tidak relevan untuk menjadi penentu kejayaan.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu negeri ini kaya dengan sumber namun memerlukan beberapa usaha bagi memenuhi hasrat kerajaan untuk menerajui pembangunan ekonomi negara.

“Saya yakin kita boleh memberi aspirasi kepada negeri lain, Sarawak akan menerajui pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Bengkel insentif anjuran bersama Kementerian Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Yayasan Kepimpinan Wanita dan Huawei Malaysia tersebut berlangsung selama dua hari dan telah disertai 30 orang pemimpin wanita.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada peserta terbaik bengkel tersebut iaitu Anastasia Lim Kim Pin daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Farah Nadia Masrol daripada Naim Holdings Sdn Bhd menerima bursari sebanyak RM10,000 seorang.-EDISI UKAS

add comment