Program YES 2022, Galak Belia Ceburi Bidang Keusahawanan

ISNIN, 21 MAC 2022

MIRI: Program Youth Entrepreneur Setup (YES) 2022 merupakan program untuk menggalakkan penglibatan belia di negeri ini mencebur diri dalam bidang keusahawanan seterusnya memperkasa ekonomi di Sarawak yang kini menuju ke arah pendigitalan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keusahawanan satu komponen penting dan strategik dalam memacu Sarawak untuk mencapai status negeri maju pada tahun 2030.

Justeru beliau berharap program sebegini dapat dijadikan sebagai program tahunan kerana ia signifikan dalam merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan

dan membentuk usahawan belia Sarawak yang dinamik, berdaya saing serta berfikiran global.

“Belia Sarawak harus menanam mentaliti daripada pencari pekerjaan kepada pemilik atau pengusaha perniagaan dan menyahut seruan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk merebut peluang dalam ekonomi digital.

“Saya amat gembira dengan pelaksanaan program seumpama Program Youth Entrepreneur Setup ini kerana ia bukan sekadar dapat mengoptimumkan impak dan membangunkan belia secara menyeluruh, malah selari dengan visi Kementerian “Ke Arah Belia Bertaraf Dunia, Sukan Untuk Semua dan Usahawan Belia Unggul Menjelang 2030,” katanya.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan  Sarawak itu berkata demikian dalam majlis perasmian Program Youth Entrepreneur Setup (YES) 2022 di Miri pada Sabtu.

Sementara itu, dalam majlis sama, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Dr Ripin Lamat berkata, penganjuran Program YES diharapkan dapat memupuk dan menanam semangat keusahawanan dalam kalangan belia yang hadir seterusnya menjadikan bidang keusahawanan sebagai industri yang dipelopori oleh golongan belia pada masa kini.

“Saya juga ingin mengambil peluang dan ruang ini untuk menyeru para belia agar terus mendedahkan diri denganlandskap serta cabaran dunia perniagaan yang sebenar, supaya dapat membentuk daya tahan dan jati diri dalam mengendalikan perniagaan sendiri suatu hari nanti,”ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak- Kanak Datuk Rosey Yunus, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Nancy Jolhi dan wakil Residen Bahagian Miri, Rose Edward Tarang.-EDISI UKAS

add comment