ISNIN, 21 MAC 2022
KABONG: Warga Kabong kini memiliki fasiliti sukan baharu dengan siapnya Pusat Sukan Rakyat Kabong yang menelan kos pembinaan sebanyak RM530,000.
Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir serta isteri pada Ahad.
Mohd Chee kemudiannya menyempurnakan Perasmian Kejohanan Futsal N.40 Kabong anjuran Pusat Khidmat ADUN Kabong dengan kerjasama Begal Legends Kabong yang bermula 12 hingga 20 Mac 2022.
Kejohanan itu menyaksikan penyertaan 45 pasukan dari hampir seluruh Negeri Sarawak dan melibatkan tiga kategori iaitu Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka & Vateran Lelaki.
Untuk kategori Lelaki Terbuka, juara dirangkul Matrix United, Ryzen FT tempat kedua, Combat FT tempat ketiga dan Miasim Galaxy FT tempat keempat.
Saingan Kategori Wanita Terbuka pula menyaksikan Nassa FT (Sarikei) muncul johan, Ladies FT (Saratok) menduduki tempat kedua, Kabong Girls A (Kabong) di tempat ketiga dan SGFT (Sibu) di tempat keempat.
Manakala Cincau Susu FT (Sibu) dinobat johan Kategori Vateran Lelaki dan PJFC (Nyabor/Meradong) di tempat kedua.
Johan bagi Kategori Terbuka Lelaki membawa pulang wang tunai RM2000, piala dan medal.
Manakala johan kategori Terbuka Wanita dan Vateran Lelaki meraih wang tunai RM1000, piala dan medal.
Turut hadir Penghulu Sani Mohamad; Penghulu Kamaluddin Rambli; Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong, Kr Ulin Tabur; Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Assabirin Kabong, Johar Bidin; Pengerusi Begal Legends Kabong, Hasrol Affendy Mohd Hatta, Ketua-Ketua Kaum, Ahli Majlis Daerah Saratok dan jemputan lain. – EDISI UKAS