ISNIN, 21 MAC 2022
KUCHING: Seiring dengan fasa peralihan ke endemik bermula 1 April 2022, sempadan Sarawak akan dibuka untuk membolehkan sektor pelancongan dan perniagaan beroperasi semula.
Timbalan Premier merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan persekutuan termasuk persetujuan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Menurut beliau, kerajaan Sarawak kini dalam usaha merancang garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang paling praktikal dan munasabah bagi memastikan masyarakat dapat bergerak ke arah endemik dengan selamat.
Susulan keputusan tersebut, Datuk Amar Douglas memaklumkan, sempadan akan dibuka dengan sembilan keperluan berdasarkan maklumat lanjut dan kemas kini oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kemasukan pelancong dari luar negara adalah dibenarkan tanpa perlu memohon ‘My Travel Pass’.
“Namun, perlu memuat turun dan mengisi ‘Borang Pra Berlepas’ melalui Ikon Pengembara di aplikasi MySejahtera.
“Sehubungan itu, salinan SOP untuk mereka yang datang melalui udara dan darat akan disediakan,” katanya semasa sidang media khas JPBNS di Bilik Gerakan Negeri Wisma Bapa Malaysia pada Isnin.
Dalam masa sama ujarnya, pengembara juga tidak perlu memohon ‘Enter Sarawak’ dan mengisi Borang Pengisytiharan E-Health (eHDF).
“Muat turun aplikasi MySejahtera dan mengisi borang soal selidik yang berkaitan sudah memadai,” jelasnya lagi.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi JPBNS, Datu Ik Pahin Joyik dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Ooi Choo Huck.-EDISI UKAS