ISNIN, 21 MAC 2022
KUCHING: Wabak penyakit anjing gila, atau lebih dikenali sebagai Rabies, merupakan satu isu serius yang mesti ditangani dengan segera.
Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom memberitahu, ini merupakan langkah penting dalam usaha menjadikan Sarawak bebas Rabies menjelang 2025.
“Walaupun kita masih menghadapi wabak COVID-19, penekanan harus diberikan bahawa wabak Rabies merupakan satu penyakit yang terus mengancam nyawa dan tidak boleh dipandang secara remeh,’’ jelasnya ketika berucap pada Majlis Pelancaran dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) ‘Rabies in Borneo (RIB) Conference 2022’ pada Isnin.
Ujar beliau, wabak tersebut telah meragut nyawa 42 daripada 45 orang semenjak kes pertama dikesan pada tahun 2017.
Dalam pada itu, Dato Sri Dr. Stephen Rundi menyambut baik penganjuran persidangan RIB itu sebagai satu platform bagi pakar-pakar dari dalam dan luar negara mengadakan perbincangan serta mengemukakan pendapat masing-masing mengenai pengawalan dan pencegahan wabak tersebut dalam kalangan masyarakat.
“Kolaborasi bersama jiran-jiran di rantau Borneo yang lain seperti Sabah, Brunei Darussalam dan Kalimantan turut penting untuk menangani wabak ini,’’ tambahnya lagi.
“Selain itu, pihak media turut memainkan peranan penting dalam mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat setempat,’’ tegas beliau.
Pada majlis tersebut, Dato Sri Dr. Stephen Rundi turut menyaksikan pemeteraian MoU antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) dengan Place Borneo Sdn Bhd untuk membolehkan syarikat tersebut menganjurkan persidangan RIB secara tahunan mulai 2022 sehingga 2025.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Pembangunan Wilayah), Maclaine Ben, Pengarah DVSS, Dr. Adrian Susin Ambud, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri Sarawak, Datu Dr. Chai Khin Chung, Perunding Utama bagi Place Borneo Sdn Bhd, Gracie Geikie, serta Ketua Pegawai Eksekutif Place Borneo Sdn Bhd, Mona Abdul Manap. – Edisi UKAS