SELASA, 22 MAC 2022
KAPIT: Ahli Jawatankuasa (AJK) Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang dilantik digesa agar menjadi ejen penggerak bagi menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada akar umbi.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan, AJK Ranting juga bertanggungjawab memberi bimbingan kepada rakyat bagi meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat.
Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Agung Tiga Kali Setahun PBB Ranting Temalat untuk Sesi 2022-2025 bertempat di Rumah Kanchin Linang pada Isnin.
Pemilihan tersebut menyaksikan Nuing Sandom dilantik sebagai Ketua Ranting, Fatimah Ilam Abdullah sebagai Ketua Wanita dan jawatan Ketua Pemuda disandang Nicholas Sudin.
Sementara itu, semasa menghadiri Mesyuarat Agung Tiga Kali Setahun PBB Ranting Beguang untuk Sesi 2022-2025 di Rumah Sepawai Nanga, Sesawa pada sebelah petang, Lidam mahu AJK baru dan yang dipilih semula supaya bekerjasama dengan Ketua Masyarakat, Ketua Kaum dan Ahli-ahli Ranting yang lain.
Tegasnya, barisan AJK yang dibentuk itu harus berpegang teguh dan mengutamakan PBB bagi menjamin masa depan parti.
Pemilihan itu menyaksikan Richard Nujung Abit dilantik sebagai Ketua Ranting, Mis Nyanggau sebagai Ketua Wanita dan Mathew Langgai sebagai Ketua Pemuda. – EDISI UKAS