SELASA, 22 MAC 2022
BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) telah diwujudkan sejak 44 tahun lalu sebagai agensi pembangunan dan pihak berkuasa tempatan dalam merancang pembangunan Bintulu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan Bintulu ini dirancang menerusi beberapa pelan induk bukan sahaja pembangunan fizikal tetapi juga pembangunan sosio-ekonomi.
Menurutnya, Bintulu, daripada sebuah pekan nelayan dengan jumlah penduduk 5,000 menjadi sebuah bandar gas dan minyak dengan populasi hampir 230,000 yang merupakan bandar keempat terbesar di Sarawak.
“Bintulu, seperti kita sedia maklum akan terus berkembang ke kawasan apa saya sebut sebagai ‘gelombang kedua’ iaitu di kawasan seberang Kuala Kemena, iaitu di kawasan Jepak.
“Perkembangan ini dimungkinkan sebab kita telah membangunkan jambatan yang agak ikonik dan sekarang pun kita telah melihat strukturnya dan tidak lama lagi apabila siapnya jambatan ini ia akan menjadi satu mercu tanda kepada Bintulu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Apresiasi Lembaga Kemajuan Bintulu 2022 di Dinner World Bintulu pada Selasa.
Jelas Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Zohari yang juga Pengerusi BDA, mercu tanda ini akan menaik taraf bandar Bintulu apabila kawasan Jepak dan Bintulu Proper akan dihubungkan dengan Pusat Pentadbiran Bintulu Baharu.
“Selepas itu, kita akan membangunkan perkampungan-perkampungan yang moden dan pusat perniagaan di kawasan tersebut.
“Ini jelas menunjukkan keprihatinan kita dari BDA ditubuhkan hingga ke hari ini kita membawa pembaharuan kepada bandar Bintulu,” jelas beliau lagi.
Hadir sama Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri di Pejabat Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai, Ahli Parlimen Bintulu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Dato’ Seri Tiong King Sing, ADUN Jepak Datuk Talip Zulpilip, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Dato Majang Renggi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Transformasi Sosio-Ekonomi) Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Residen Bahagian Bintulu Datu Jack Aman Luat, Timbalan Pengerusi BDA, Dato Haidar Khan Asghar Khan dan Pengurus Besar BDA, Datu Muhammad Yakup Kari. -EDISI UKAS