Galeri Lebok Dana Pamer Koleksi Peribadi Allahyarham Seniman P Ramlee

SELASA, 22 MAC 2022

KUCHING: Persatuan Geng Pau Sari Kuching telah mengadakan Majlis Kesyukuran Hari Seniman Negara di Galeri Lebok Dana pada Selasa.

Majlis yang julung kali diadakan di galeri berkenaan disambut bertujuan memperingati jasa dan sumbangan seniman agung, Allahyarham P Ramlee selain sebagai landasan untuk memperkukuh peranan seni serta budaya.

Menurut pemilik Galeri Lebok Dana, Abang Bolhassan Abang Ali, beliau yang merupakan seorang peminat fanatik Allahyarham P Ramlee mula mengumpul koleksi peninggalan seniman agung itu sejak tahun 1973 lagi.

“Lebok Dana merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Melanau iaitu bermaksud ‘Rumah Lama’.

“Kebanyakan koleksi dibeli dengan nilai yang boleh mencecah sehingga ratusan ringgit,” katanya.

Hari Seniman Negara kini akan disambut pada setiap 22 Mac setiap tahun dan bukan lagi pada 29 Mei seperti tahun-tahun sebelumnya.

Pindaan ini mendapat kelulusan menerusi Memorandum Jemaah Menteri, jelas Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan media pada 16 Mac yang lalu.-EDISI UKAS

add comment