SELASA, 22 MAC 2022
KUCHING: Rundingan dan perbincangan menyeluruh akan menjadi keutamaan kepada Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam usaha mengurangkan isu projek lewat di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerjasama erat itu penting demi harapan tinggi rakyat kepada kerajaan dalam pelaksanaan pembangunan.
“Begitu juga kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang turut mempunyai harapan yang tinggi terhadap kejayaan pelaksanaan pembangunan di Sarawak.
“Beliau berhasrat menjadikan Sarawak sebagai negeri maju pada 2030 dengan pertumbuhan ekonomi enam hingga lapan peratus secara purata setahun,” katanya semasa taklimat bersama JKR Sarawak mengenai status pelaksanaan projek pembangunan utama di Sarawak di sini pada Selasa.
Datuk Amar Douglas Uggah turut memberi jaminan kementeriannya dan JKR Sarawak akan memberi tumpuan untuk memenuhi hasrat itu.
“Saya sendiri dan dua timbalan, Datuk Majang Renggi dan Aidel Lariwoo akan melakukan yang terbaik untuk memantau pelaksanaan projek bagi memastikan setiap projek mencapai matlamatnya.
“Pada masa yang sama kita tidak mahu kementerian dan jabatan mengambil haluan masing-masing di mana kemungkinan berlakunya pertembungan antara kedua-dua pihak nanti,” tambahnya.
Hadir sama Setiausaha Tetap MIPD, Datu Safri Zainudin dan Pengarah JKR Sarawak, Datu Zuraimi Sabki. -EDISI UKAS