PBB DUN Demak Laut Terus Cemerlang

SELASA, 22 MAC 2022

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut akan terus cemerlang pada masa akan datang dan memastikan pembangunan di DUN Demak Laut sentiasa dipertingkatkan. 

Ketua Cawangan PBB DUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, ini dapat dibuktikan dalam beberapa keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.  

“Majoriti pengundi di kawasan DUN Demak Laut memahami perjuangan politik pembangunan yang telah mendatangkan hasil sejak 10 tahun ini.

“Ini selepas banyak projek berskala besar telah dibina seperti Jambatan Bako, Projek Perumahan Spektra, Projek Jambatan Sejingkat-Tanjung Bako, Depot Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Bako dan beberapa lagi projek yang akan diluluskan dalam penggal ini. 

“Begitu juga dengan gaya kepimpinan yang ditunjukkan sebelum ini dengan memfokuskan kepada politik pembangunan dan sentiasa menjaga kebajikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. 

Dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Cawangan PBB DUN Demak Laut sesi 2022 hingga 2025 pada Ahad, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni telah mengekalkan jawatannya sebagai Ketua PBB Cawangan Demak Laut. 

Pada mesyuarat itu juga, Timbalan Ketua PBB Cawangan DUN Demak Laut Dato Sri Syed Hamzah Syed Paie turut mengekalkan jawatan bersama Naib Ketua PBB Cawangan Rahmat Sabang. 

Sementara itu, bagi jawatan Ketua Pergerakan PBB DUN Demak Laut dimenangi Sebli Morsidi dan Fatimah @ Rokiah Temben berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan. 

Mesyuarat telah dihadiri kira-kira 596 Ahli Jawatankuasa Perwakilan Pergerakan Bapa, Wanita dan Pemuda Cawangan dari 34 ranting Zon Tabuan, Zon Tanjung Bako, Zon Jalan Bako, Zon Bako, Zon Muara Tebas dan Zon Tanjung Embang bertempat di Penview Convention Centre (PCC) Kuching, Jalan Bako. -EDISI UKAS

add comment