Pendaftaran Harta Intelek Beri Manfaat Kepada Pemilik Produk

SELASA, 22 MAC 2022

KUALA LUMPUR: Pendaftaran harta intelek melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) adalah satu aspek penting yang boleh memberi manfaat kepada para pemilik.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, pendaftaraan produk berkaitan yang merangkumi paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian, harta cipta serta petujuk geografi membolehkan pemilik mendapat hak eksklusif terhadap harta intelek mereka di bawah perundangan sedia ada.

“Antara manfaat yang diperoleh termasuklah perolehan hak eksklusif untuk membuat, menjual, menyewa atau menggunakan harta intelek bagi tujuan perdagangan atau perniagaan,’’ katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat di Dewan Rakyat pada Selasa.

Tambah beliau, perlindungan dan penguatkuasaan di bawah perundangan harta intelek turut membolehkan pemilik mengambil tindakan undang-undang ke atas penyalahgunaan produk mereka tanpa kebenaran.

“Pendaftaran ini juga memberi nilai tambah kepada produk perniagaan untuk dipasarkan ke luar negara serta merupakan antara syarat-syarat untuk mendapatkan geran pembiayaan perniagaan daripada kerajaan.

“Dari tahun 2016 hingga 2021, statistik MyIPO melaporkan bahawa sebanyak 79,034 permohonan tempatan serta 146,137 permohonan dari luar negara telah diluluskan untuk tujuan pendaftaran,’’ ujarnya.

Sementara itu, Dato Sri Alexander memberitahu, MyIPO terus menganjurkan pelbagai program kesedaran serta pengiklanan bagi menghebahkan berkaitan kepentingan mendaftar dan melindungi harta intelek kepada orang ramai. 

“Golongan belia, pelajar dan masyarakat setempat turut dibantu dengan pemberian Dana Pemfailan Harta Intelek (Dana IP 2.0) di bawah peruntukan kewangan sebanyak RM4 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12,’’ tambah Ahli Parlimen Kapit itu. -Edisi UKAS

add comment