SELASA, 22 MAC 2022
SIMUNJAN : Penduduk Kampung Kelka Ulu telah menjalankan aktiviti gotong-royong membersih Surau Darul Iman Kampung Kelka Ulu dan kawasan sekitarnya pada Sabtu.
Program kali kedua anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kelka Ulu, Jawatankuasa Pengurusan Surau Darul Iman dan Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kelka Lama itu bertujuan menceriakan kawasan surau tersebut.
Dalam masa sama, memberi keselesaan kepada penduduk mahupun pengunjung yang datang untuk beribadat sekaligus sebagai persediaan menyambut bulan Ramadan.
Ketua Kampung Kelka Ulu, Tarazi Ali ketika ditemubual berharap agar program sedemikian dapat diteruskan pada bila-bila masa supaya ia dapat dipupuk menjadi budaya seterusnya merapatkan hubungan silaturahim antara penduduk.
Menerusi program itu, Tarazi telah menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Perkarangan Rumah penduduk Kampung Kelka Ulu.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Surau Darul Iman, Awang Shukeran Awang Zen dan Ketua Ranting PBB Kelka Lama, Halim Fadil. -EDISI UKAS