Sambutan Hari Air Sedunia Satu Platform Menangani Isu Air

22 MAC 2022

KUCHING: Sambutan Hari Air Sedunia merupakan satu platform yang boleh memberi kesedaran serta memperbaharui tekad semua lapisan masyarakat untuk menangani isu-isu berkaitan air.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, perkara ini dilakukan melalui pelaksanaan pelan strategik dan tindakan oleh setiap negara di seluruh dunia.

“Sambutan ini juga bertujuan memenuhi sasaran Matlamat Pembangunan Mampan yang dilancarkan pada 2015 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu bagi memastikan setiap individu mempunyai akses kepada air bersih menjelang tahun 2030,’’ jelasnya ketika berucap pada Program Sambutan Air Sedunia 2022 Peringkat Negeri Sarawak di sini pada Selasa.

Beliau berpendapat bahawa tema sambutan kali ini iaitu ‘Groundwater – Making the Invisible Visible’ dengan penumpuan khas kepada sumber air bawah tanah adalah selari dengan usaha kerajaan untuk sentiasa memastikan sumber air adalah mencukupi serta selamat untuk diminum di samping memastikan bekalan air tersedia untuk semua sektor pengguna seperti domestik, industri, dan pertanian.

“Air bawah tanah boleh dijadikan sebagai sumber air alternatif sekiranya ianya tersedia di sesuatu tempat serta pengabstrakan dilakukan melalui kaedah yang betul dan tidak menjejaskan alam sekitar,’’ tegasnya.

Sementara itu, Datuk Julaihi memberitahu, salah satu inisiatif untuk meningkatkan kebolehpercayaan dan daya tahan bekalan air di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) kerajaan Sarawak adalah dengan melaksanakan Grid Bekalan Air Sarawak.

“Melalui grid ini, sistem bekalan air dari selatan ke utara akan dihubungkan bersama di mana sumber air mentah yang dikenal pasti adalah semua sumber permukaan yang mampu menampung permintaan air sehingga tahun 2070,’’ tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada semua pihak berkepentingan agar memain peranan masing-masing dalam melindungi dan memulihara sumber air demi menjamin kemampanannya bukan sahaja untuk generasi ini tetapi juga untuk generasi masa depan.

Turut hadir pada program tersebut ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kitang, Ir. Lo Khere Chiang, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Ir. Alice Jawan Empaling, Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak, Ir. Chang Kuet Shian, serta Pengurus Besar Lembaga Air Kuching, Rodziah Mohamad. -Edisi UKAS

add comment