Selepas Methanol, Sarawak Akan Bangunkan Loji Hidrogen Sekaligus Meningkatkan GDP Sarawak – Premier Sarawak

SELASA, 22 MAC 2022

BINTULU: Sarawak merancang untuk terus memperkembangkan lagi industri di Tanjung Kidurong, Bintulu ini. 

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Kerajaan Sarawak memberi komitmen ini bagi pembangunan Sarawak dan berasakan pada tahun 2026 jumlah para pekerja di kawasan ini mempunyai lebih kurang 15,000 orang. 

“Kalau pembangunan ini berjalan lancar, selepas Methanol ini kita akan membangunkan hidrogen dan juga ada lagi pelaburan dari syarikat minyak untuk membangunkan satu lagi loji dengan memajukan hab yang akan meningkat GDP 6 ke 7 peratus sehingga tahun 2030,” katanya. 

Beliau berkata demkian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan dan mendengar taklimat di Sarawak Petchem Methanol Plant Bintulu pada Selasa.

Jelas Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi, pelaksanaannya akan dimulakan pada tahun ini hingga 2027 dan selepas itu akan diteruskan pelaksanaan petrokimia.

Sarawak Petchem Sdn Bhd diperbadankan pada 7 Julai 2017 untuk melaksanakan pembangunan dan operasi Methanol Sarawak di Bintulu serta menghasilkan 5,000 metrik tan sehari Methanol menggunakan gas asli. 

Taklimat telah disampaikan Pengurus Projek Mohamad Ibrahim dengan dibantu Ketua Operasi Ir Lucas Takip, Timbalan Pengurus Projek Safian Shafiee dan Pengurus HSE Mahayuddin Abdullah. 

Terdahulu, beliau telah memberitahu Kerajaan Sarawak telah menerima beberapa cadangan daripada beberapa pelabur luar yang hendak menempatkan operasi mereka di Tanjung Kidurong.

Terkini, Sarawak telah menerima pelaburan baru dari Amerika Syarikat yang akan mengeluarkan bahan-bahan perubatan.

“Sekarang ini mereka membangunkan fasa pertama yang menelan belanja RM200 juta. 

“Selepas itu mereka akan melaksanakan fasa kedua di mana pelaburannya kira-kira RM800 juta,” jelasnya. 

Tambah Premier Sarawak lagi, Sarawak akan membangunkan loji hidrogen yang akan dibina pada tahun hadapan di Tanjung Kidurong ini. 

“Jadi, kedatangan saya adalah untuk membuat perancangan yang lebih teliti dari sudut kawasan tanah. 

“Nombor dua ialah kemudahan perumahan untuk para pekerja. Dan, ketiganya ialah supaya jalan raya adalah lebih selesa untuk kita bangunkan di kawasan ini,” tambahnya. 

Dalam perjalanan balik Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari telah meninjau tapak pembinaan Sarawak Medical Innovation Technology Hab (SMITH) Tanjung Kidurong yang terletak tidak jauh daripada Sarawak Petchem Methanol Plant. 

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Transformasi Sosio-Ekonomi) Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Residen Bahagian Bintulu Datuk Jack Aman Luat -EDISI UKAS

add comment