SELASA, 22 MAC 2022
KUCHING: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menerima kunjungan hormat daripada Panglima 1 Divisyen Infantri Mejar Jeneral Dato’ Dzulkafli Mustaffa di Demak Jaya, Kuching pada Selasa.
Dato’ Dzulkafli berkata, kunjungan hormat berkenaan adalah bertujuan bagi memperkenalkan tiga orang panglima baharu.
“Kunjungan ini adalah bagi memperkenalkan panglima-panglima daripada Formasi naungan 1 Div iaitu Panglima 3 Briged, Panglima 9 Briged dan Panglima 31 Briged yang baru ditugaskan di negeri Sarawak ini.
“Kami berharap dengan kepada TYT ini akan dapat merapatkan hubungan diantara Kerajaan Negeri dan juga pasukan tentera darat yang sedang bertugas di negeri ini,”katanya kepada media.
Turut hadir, Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Kamil Abdul Latiff, Panglima 9 Briged, Brigedier Jeneral Mohamad Shauari Mat Piah dan Panglima 31 Briged, Brigedier Jeneral Abdul Jalal Zaidi Abdul Majid.
Sementara itu, menjawab soalan media, Dato’ Dzulkafli memberitahu, tiga pos kawalan baharu yang sedang dibina di sempadan Sarawak kini telah siap 65 peratus.
“Kita menjangkakan kesemua pos kawalan itu yang terletak di Sungai Pauh di Serian, Padang Upan di Bau dan Batu Kaya, Lubok Antu akan siap sepenuhnya pada Julai dan sedia untuk beroperasi,” jelas beliau lagi.-EDISI UKAS