RABU, 23 MAC 2022
REPOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii menggesa pihak berwajib agar segera membaik pulih jalan raya dari Jakar menuju ke arah Jalan Kiew Mang yang mengalami masalah air bertakung.
Menurutnya, masalah membelanggu tapak projek Lebuhraya Pan Borneo itu telah berlarutan selama dua tahun berpunca dari penyumbatan pembetung.
Dato’ Sri Huang menjelaskan, beliau telah menghubungi pihak PPESW BPSB JV SDN BHD dua tahun yang lalu dengan segera setelah menerima aduan daripada orang awam.
Katanya, masalah itu perlu ditangani segera kerana bimbang air bertakung yang mengalir di atas jalan raya menyebabkan tanah di bahagian bawah semakin lembut dan berlakunya tanah runtuh.
Ditemui semasa melawat jalan raya itu pada Rabu, beliau menegaskan jalan raya itu merupakan laluan utama Lebuhraya Pan Borneo termasuk kenderaan dari Kuching, Miri, Sibu dan tempat-tempat lain.
Justeru tegasnya, ia akan membawa kesan yang serius jika tidak diselenggarakan dengan segera.
Difahamkan, Pengurus Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Ishak Awang, berjanji akan melaksanakan kerja baikpulih pada Mei ini.
Terdahulu, Dato’ Sri Huang telah mengadakan lawatan ke Terminal Dua Sarikei untuk meninjau keadaan RC Costal Wharf di Sungai Nyelong.
Beliau telah diberikan taklimat mengenai keadaan dermaga tersebut yang mengalami banyak kerosakan pada tahap 75 peratus dan tidak ekonomikal untuk diselenggara lagi.
Sehubungan itu, Dato’ Sri Huang telah mencadangkan untuk membina sebuah dermaga baru daripada membaiki dermaga tersebut untuk kegunaan memunggah bahan binaan kelak.
Walaupun dalam keadaan uzur, dermaga yang dibina pada tahun 1979 itu masih aktif digunakan sehingga ke hari ini.
Dato’ Sri Huang kemudiannya meluangkan masa hadir pada majlis simbolik penyerahan projektor LCD bertempat di Pusat Khidmat Repok.
Menurut beliau, sumbangan projektor itu bagi membolehkan murid-murid belajar dalam suasana yang baik dan kondusif.
Beliau juga berharap sumbangan itu dapat meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran guru-guru dan murid-murid di dalam bilik darjah.
Sebanyak 19 unit projektor diagihkan iaitu lima unit kepada SK Sg Paoh, empat unit kepada St Anne Sarikei dan 10 unit kepada SMK Bandar Sarikei.- EDISI UKAS