JKKK Kampung Muhibbah Zon Selatan Adakan Majlis Randau Bersama ADUN Simanggang

SRI AMAN: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Muhibbah Zon Selatan telah mengadakan Majlis Randau bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat II, Datuk Francis Harden Hollis dan agensi pelaksana pada Rabu.

Menurut Datuk Francis, sesi randau itu berkisar mengenai keadaan sistem perparitan yang tidak efisien disebabkan perubahan struktur tanah yang mengakibatkan ada sesetengah pembetung roboh dan tidak sempurna seterusnya menyebabkan aliran air tidak lancar, bertakung dan berlakunya banjir apabila hujan turun.

Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut menyentuh permohonan menaik taraf lorong masuk dengan cadangan melebarkan jalan akses kepada rumah kediaman di kampung berkenaan.

Mengakhiri sesi randau tersebut dengan lawatan bersama wakil agensi pelaksana ke tempat yang dimaksudkan untuk melihat sendiri keadaan dan mencari jalan penyelesaian.

Agensi pelaksana yang hadir mewakili Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Sri Aman, adalah Juruteranya, Azizi Dahlan dan Penolong Jurutera, Wong Ngang Hua.

Selain itu, Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) diwakili Penolong Juruteranya, Dayang Ku Haniza Awang Azahari dan Pembantu Tadbir, Roziana Rosli.

Manakala dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman pula diwakili Penolong Jurutera Bahagian, Kiew Siaw Hiong; Jurutera, Lim Bak Chai dan Penolong Jurutera (Elektrikal), Mike Daes. -EDISI UKAS

add comment