Kerajaan Persekutuan Salur RM6.2 Juta Kepada 1,024 KRT Di Sarawak

RABU, 23 MAC 2022

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan geran sebanyak RM6.2 juta dan diagihkan kepada 1,024 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) meliputi 13 bahagian di Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, peruntukan geran ini merupakan pengiktirafan kerajaan di atas komitmen warga rukun tetangga dalam memperkukuhkan keharmonian, keselamatan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Menurutnya, kerajaan sentiasa mengiktiraf dan menghargai jasa serta pengorbanan sukarelawan rukun tetangga yang bertindak sebagai barisan hadapan masyarakat untuk membantu kerajaan memastikan keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan komuniti.

“Kini terdapat sebanyak 8,330 KRT di seluruh negara dan di Sarawak sahaja terdapat 1064 KRT dan tahun ini kerajaan persekutuan menyediakan geran rukun tetangga sebanyak RM6.2 juta di negeri ini.

“Ia bagi memperkukuhkan peranan KRT dalam komuniti melalui pelaksanaan agenda kerja komuniti Rukun Tetangga yang merangkumi gerak kerja KRT sejahtera, gerak kerja KRT selamat, gerak kerja KRT sihat, gerak kerja KRT bersih dan gerak kerja KRT indah,” katanya pada Majlis Penyampaian Geran KRT Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2022 di Dewan Suarah Kota Samarahan pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional Negeri Sarawak, Dirwana Azool, Pegawai Daerah Samarahan, Anuar Da’an serta tetamu jemputan lain.

Dato Sri Fatimah Abdullah turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif dalam mendukung semangat Keluarga Malaysia.

Katanya, ia dilakukan melalui gerak kerja komuniti rukun tetangga sehingga menyemarakkan keprihatinan rukun tetangga terhadap masyarakat yang terjejas dengan pelbagai musibah.

“Sebagai contoh, semasa negara berdepan dengan pandemik Covid-19, bantuan kotak makanan dihulurkan kepada warga rukun tetangga melalui inisiatif program Skuad Uniti RT Cares selain keperluan kesihatan yang meliputi kerusi roda, keperluan perubatan dan keperluan lain yang bersesuaian dengan komuniti terbabit,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau memberitahu, kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Negeri Sarawak yang diterajui Majlis Pembangunan Sosial Sarawak turut mengambil inisiatif sama.

Jelasnya, jabatan melalui rukun tetangga telah melaksanakan serta merancang Program Randau Solidariti Komuniti (RSK) dalam menjayakan aspirasi Keluarga Malaysia dan program ini telah bermula pada tahun 2020 yang telah diperluaskan pada tahun 2021, Program Randau Solidariti Komuniti (RSK) dijangka dilaksanakan di 34 daerah pada tahun 2022. -EDISI UKAS

add comment