RABU, 23 MAC 2022
BETONG: Pembinaan Kompleks Sukan Spaoh yang menelan kos sebanyak RM14 juta kini berada di fasa akhir dan dijangka siap dalam masa terdekat.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu turun padang pada Rabu bersama Majlis Daerah Betong selaku agensi pelaksana untuk meninjau kerja-kerja penyiapan projek rakyat tersebut oleh pihak kontraktor.
Kompleks sukan tersebut terdiri daripada stadium tertutup dan stadium terbuka yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk kegunaan orang ramai.
Stadium tertutup mempunyai dewan serbaguna yang dilengkapi dengan penghawa dingin, empat gelanggang badminton, tempat duduk untuk penonton, tandas, serta sebuah pentas.
Manakala kemudahan-kemudahan yang disediakan di stadium terbuka ialah pentas utama, padang bola sepak, trek sintetik untuk acara larian serta tandas.
Sejurus selepas itu, Dato Gerald meninjau kerja-kerja pembinaan Kompleks Sukan Daerah Kecil Debak yang sedang rancak dibina.
Pembinaan kompleks sukan itu kini berada pada status 25 peratus melibatkan kerja-kerja pembinaan trek, sistem perparitan serta padang bola sepak dan dijangka akan siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2022.
Semasa lawatan, Dato Gerald dimaklumkan oleh Majlis Daerah Betong bahawa pembinaan kompleks sukan itu hanya melibatkan trek, padang bola sepak dan tempat parkir.
Beliau turut dimaklumkan mengenai cadangan untuk membina pentas utama di kompleks sukan itu pada masa akan datang bagi menambahbaik keperluan dan kemudahan fasiliti sukan itu.
Projek Rakyat itu menerima suntikan dana sebanyak RM6 juta sumbangan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg. – EDISI UKAS