RABU, 23 MAC 2022
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar Malaysia (KPLB) akan membentangkan satu cadangan kenaikan harga siling bagi pembinaan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk diluluskan oleh Jemaah Menteri.
Menterinya, Dato’ Seri Mahdzir Khalid memberitahu, KPLB kini sedang dalam sesi libat urus bersama agensi-agensi berkaitan untuk mendapatkan pandangan sewajarnya.
“Ekoran kenaikan kos bahan binaan terutamanya selepas tempoh penularan wabak COVID-19 ini, banyak kontraktor kecil merasakan tidak mampu untuk membina rumah-rumah seumpama ini kerana keuntungan yang diperoleh adalah terlalu rendah,’’ katanya menjawab Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abdul Wahab di Dewan Rakyat pada Rabu.
Oleh itu, jelas beliau, KPLB akan mencadangkan satu harga baru yang boleh diterima oleh pihak kontraktor.
“Pada masa ini, harga pembinaan bagi seunit PPRT adalah RM68,000 bagi Sarawak dan Sabah,’’ ujarnya.
Sementara itu, Dato’ Seri Mahdzir berkata, sebanyak 69 unit rumah PPRT yang baharu telah dibina manakala 344 unit rumah telah dibaik pulih di Parlimen Tanjong Manis semenjak tahun 2016 dengan peruntukan sebanyak RM7.8 juta.
“Program ini akan terus dilaksanakan untuk tahun 2022,’’ tambahnya. -Edisi UKAS