Program Rancakkan Tebingan Kuching Sebagai Destinasi Pelancongan

RABU, 23 MAC 2022

KUCHING: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berhasrat untuk mengubah kawasan di sepanjang Tebingan Kuching menjadi destinasi pelancongan yang lebih meriah. 

Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, salah satu rancangannya adalah untuk menjadikan bangunan lama Majlis Perbandaran Kuching yang bertentangan dengan Balai Polis Sentral di Padang Merdeka sebagai Galeri Seni. 

“Saya amat teruja untuk menyaksikan perkembangan seni dan kreatif di bandaraya Kuching kerana ia mencerminkan masyarakat telah mencapai tahap yang lebih tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan Platform Seni Fizikal dan Digital YAST Art (Phygital) di Kuching pada Rabu. 

Tambah Dato Sri Abdul Karim, kementeriannya juga akan menubuhkan pusat seni persembahan di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama.

 “Kami juga akan menubuhkan pusat seni persembahan kami sendiri di bangunan DUN lama.

“Saya ingin melihat persembahan drama, nyanyian dan tarian di pusat itu setiap minggu sebaik sahaja ia dibuka,” ujar beliau lagi. 

Dalam pada itu, beliau berharap Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF), Festival Jazz Borneo dan Festival Muzik Desa dapat diadakan pada tahun ini selepas ditangguhkan sejak dua tahun lepas susulan pandemik Covid-19. -EDISI UKAS

add comment