Pusat Khidmat Wakil Rakyat Main Peranan Penting Lonjak Imej GPS

RABU, 23 MAC 2022

SIBU: Pusat Khidmat Wakil Rakyat memainkan peranan yang penting bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk melonjakkan imej kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, kerajaan GPS boleh mendekati dan memahami denyut nadi rakyat melalui peranan yang dimainkan oleh Pusat Khidmat.

Katanya lagi, pengurusan Pusat Khidmat perlu bijak menangani sebarang perubahan di kawasan yang mereka wakili.

“Pusat Khidmat perlu membantu wakil rakyat kawasan dalam urusan pentadbiran khasnya yang melibatkan pemantauan pengagihan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

“Pengurusan kewangan Pusat Khidmat perlu telus dan teguran daripada Pegawai SIMU perlu diambil secara positif.

“Ini termasuk bekerjsama rapat dengan agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah dan agensi teknikal,” katanya semasa Kursus Pemerkasaan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) ADUN Kerajaan Bagi Tahun 2022 anjuran Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri (SIMU), Jabatan Premier Sarawak di Hotel Kingwood, Sibu pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah SIMU Azmi Bujang menjelaskan terdapat peruntukan daripada Kerajaan Sarawak untuk Pusat Khidmat ADUN GPS di bawah Akaun Bawah Kawalan.

Jelasnya, Akaun Bawah Kawalan bermaksud perbelanjaan peruntukan tersebut adalah di bawah kawalan dan seliaan ADUN GPS.

Beliau menambah, Kerajaan Sarawak ada menyalurkan bajet untuk setiap Pusat Khidmat ADUN GPS.

Selain itu, ADUN terbabit juga boleh memohon bajet di bawah Biro Keagamaan, Pendidikan, Sosial dan Persatuan.

Katanya, laporan Akaun Bawah Kawalan perlu dihantar dua kali setahun kepada pihak SIMU di mana penyimpanan dokumen dan rekod kewangan perlu telus dan teratur.

Hadir sama dalam program itu ADUN Opar, Billy Sujang; ADUN Ngemah, Anyi Jana dan ADUN Telang Usan, Dennis Ngau. – EDISI UKAS

add comment