64 Peratus Ketua Jabatan Persekutuan Di Sarawak Diisi Anak Negeri

KHAMIS, 24 MAC 2022

KUALA LUMPUR: Sebanyak 64 peratus daripada perjawatan Ketua Jabatan di jabatan-jabatan Persekutuan di Sarawak telah diisi oleh anak Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili berkata, secara keseluruhannya, 109 daripada jumlah 117 perjawatan tersebut telah diisi setakat kini.

“Daripada jumlah yang telah diisi, 68 orang terdiri daripada anak Sarawak (64 peratus), 39 orang adalah warga Semenanjung (35.7 peratus) serta 2 orang berasal dari Sabah,’’ jelasnya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Ujar Datuk Seri Panglima Dr. Maximus, pelaksanaan dasar berhubung pengisian Ketua Jabatan Persekutuan di Negeri Sabah dan Sarawak adalah agar keutamaan masing-masing diberikan kepada Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak.

“Ini adalah sejajar dengan cadangan pelaksanaan Borneanisasi yang pertama kali dibentangkan dalam Jawatankuasa Sosio Ekonomi (JKSE) di bawah Majlis Khas MA63 pada 18 Februari lepas.

“Di samping itu, salah satu perkara yang dibincangkan dalam JKSE adalah mengenai keutamaan pengambilan dan peningkatan penyertaan anak-anak muda dari Sabah dan Sarawak dalam perkhidmatan awam persekutuan,’’ katanya lagi.

Jelas beliau pula, perkara Borneanisasi merujuk kepada “safeguard” atau perlindungan yang ditetapkan oleh pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak yang termasuk dalam Perkara 20 (untuk Sabah) dan Perkara 18 (untuk Sarawak), sebagai antara syarat-syarat bagi Sabah dan Sarawak menyertai Penubuhan Persekutuan Malaysia. -Edisi UKAS

add comment