KHAMIS, 24 MAC 2022
SEBUYAU: Seramai 95 peserta telah menyertai Program Agriculture Community Outreach (AgriCOP) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau bertempat di Dewan Masyarakat Kampung Entangor pada Rabu.
Program anjuran Jabatan Pertanian bersama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Simunjan itu telah dirasmikan oleh Yusuf Buji, Pegawai Tadbir Khas yang mewakili Menteri Utiliti dan Telekomunikasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi.
Semasa berucap, Yusuf memberitahu, AgriCOP memberikan pendedahan secara langsung kepada golongan sasar mengenai perkembangan pertanian terkini.
Katanya, ia merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk menggalakkan penduduk setempat mempergiatkan aktiviti pertanian serta mengoptimumkan tanah mereka selain melahirkan masyarakat luar bandar yang mempunyai kepakaran dalam industri pertanian moden yang boleh meningkatkan pendapatan ekonomi mereka dan negara.
Yusuf menambah, Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Pertanian dan Pertubuhan Peladang juga telah menyediakan peruntukan yang besar bagi membantu golongan petani melalui bimbingan dan latihan menerusi program seumpama itu, termasuk bantuan tanaman makanan, tanaman komoditi, perikanan darat serta agromakanan.
Selain itu jelasnya, usaha sedemikian merupakan langkah kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan bekalan makanan import di samping melonjakkan potensi ekonomi sesebuah kawasan dalam pelbagai sektor khususnya pertanian.
Turut hadir Penolong Pegawai Pertanian Daerah Simunjan, Jakaria Ann; Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Kawasan Simunjan, Dahari Jolhi; Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Simunjan, Asli Yahya dan Ketua Kaum Kampung Entangor, Momin Jenta.-EDISI UKAS