KHAMIS, 24 MAC 2022
KANOWIT: Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Ngemah, Anyi Jana bersama Pusat Khidmat ADUN Ngemah mengadakan program gotong-royong bagi membersihkan Telaga Kumang di Bukit Melapi pada Rabu.
Telaga Kumang merupakan satu tempat yang menarik di kawasan Ngemah dan menjadi tempat ritual bagi komuniti Iban di mana ‘Adat Miring’ yang masih diamalkan.
Selain daripada itu, Telaga Kumang turut menjadi destinasi tarikan pelancong di mana pengunjung daripada luar kawasan turut datang bagi melihat sendiri keunikan Telaga Kumang tersebut.
Program gotong-royong ini turut dicadangkan untuk dimasukkan dalam acara tahunan bagi mengekalkan keunikan dan menjaga kebersihan Telaga Kumang dan kawasan sekitarnya.
Program tersebut turut disertai beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) terdiri daripada Dayak Bukit Kelingkang (Sibu), Terabai Menua (Song), Kaban Menyadi (Kapit), Tajai (Sibu) dan Teresang Dayak Draf (Miri).
Ia turut dihadiri Kaunselor Mutang Karani, Penghulu Benet Jentan, Penghulu Leong, Penghulu Thomas Ling serta EXCO Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) Pusat merangkap Ketua Wanita PRS Ngemah.-EDISI UKAS